Make your own free website on Tripod.com

Sedutan Utusan On-Line 4 Okt. 2003

Semua guru dibenar merotan -- Kementerian Pendidikan juga kaji hukum murid di khalayak ramai

Oleh: WAHID HASHIM

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Semua guru akan diberi kuasa guru disiplin, termasuk merotan pelajar ekoran tahap disiplin di sekolah yang semakin merosot, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Abdul Rafie Mahat.

Sehubungan itu, kata beliau, semua guru besar dan pengetua di sekolah yang mempunyai masalah disiplin perlu menurunkan kuasa mereka kepada semua guru secara serentak.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada hukuman rotan di khalayak ramai akan diperkenalkan semula, beliau berkata perkara itu akan dikaji dari beberapa aspek terlebih dahulu.

``Saya mintalah semua pihak yang berkepentingan beri perhatian serius mengenai masalah samseng di sekolah,'' katanya kepada para pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau memberitahu demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Langkawi semalam yang mengarahkan Kementerian Pendidikan mengambil langkah lebih tegas bagi menangani masalah disiplin pelajar yang semakin serius sejak akhir-akhir ini.

Abdullah turut memandang berat insiden terbaru pergaduhan yang melibatkan 22 pelajar di Kuala Bikam, dekat Teluk Intan yang mengakibatkan seorang pelajar lelaki hampir putus tangan kiri dan mahu perkara itu ditangani sebaik mungkin.

Abdul Rafie memberitahu, beliau juga telah mengarahkan para pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turun sendiri ke padang membantu guru besar dan pengetua menangani masalah disiplin pelajar.

Katanya, masalah disiplin yang berlaku juga menuntut perhatian secara serius semua pihak.

Ini kerana, tegas Abdul Rafie, kejadian pergaduhan di Kuala Bikam itu turut melibatkan orang luar dan berlaku di luar kawasan sekolah.

``Biarlah polis menyiasat kes itu secara terperinci,'' ujar beliau.

Beliau juga menegur guru yang menyembunyikan masalah disiplin di sekolah masing-masing malah ada guru yang tidak mengendahkan masalah yang diluahkan oleh pelajar, sehingga akhirnya ia membarahi disiplin sesebuah sekolah.

Serentak itu, beliau mengarahkan supaya diwujudkan sebuah badan yang mirip Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi membolehkan pelajar bersuara di peringkat sekolah dan masyarakat.

Beliau turut mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa Perundingan Tentang Disiplin Pelajar yang dipengerusikannya sendiri.

Katanya, jawatankuasa yang baru bermesyuarat sekali itu akan memberi fokus kepada empat perkara.

Empat perkara itu ialah:

* Meminta pihak sekolah bersikap telus dan melaporkan segera kejadian gangsterisme;

* Meminta PPD dan JPN membantu sekolah yang dikenal pasti bermasalah dengan disiplin;

* Menarik penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan;

* Memantapkan hal ehwal pengurusan pelajar.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan melihat semula pendekatan yang digunakan oleh Abdullah ketika pernah menjadi Menteri Pendidikan.

Katanya, Abdullah menggunakan pendekatan memupuk perpaduan dan integrasi kaum seperti memperkenalkan sekolah integrasi.

``Langkah-langkah yang pernah diperkenalkan oleh Abdullah seperti menarik penglibatan tiga institusi iaitu keluarga, sekolah dan komuniti mungkin akan dihidupkan semula,'' kata Abdul Rafie.

Katanya, ini bermakna ibu bapa yang mempunyai pengaruh dalam sesuatu masyarakat akan dibenarkan menyertai PIBG walaupun anaknya sudah tidak bersekolah.

Pada 15 Ogos lalu, seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat cedera di belasah pelajar senior di asrama sekolah itu sehingga mengalami kecederaan termasuk kehilangan buah pinggang kirinya.

Sebanyak 20 pelajar Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh pula dibuang sekolah pada 20 Ogos lalu kerana mewujudkan budaya samseng `High Council.'

Pada 29 Ogos pula enam pelajar tingkatan lima Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak disingkir serta-merta dari sekolah asrama penuh tertua itu setelah terbabit dalam masalah disiplin.