Kereta Amfibia

Sumber: Utusan On-Line - 01 Feb 2004

Daripada kereta sports kepada bot laju
WATERCAR dengan reka bentuk kereta sports mampu menarik perhatian di darat dan air.

JIKA anda peminat cerita James Bond, sudah tentu anda masih ingat bot/kereta digunakan ejen 007 (lakonan Pierce Brosnan) dalam filem The World Is Not Enough yang mampu bergerak laju di air dan jalan raya tanpa masalah.

Dalam filem itu, ejen Bond telah menggunakan kenderaan amfibia (dua alam) dari makmal Q yang mampu menembak torpedo, menyelam, menjadi bot laju dan juga bergerak di jalan raya dalam adegan mengejar Cigar Girl di Sungai Thames, London.

Pada ketika itu (1999), sememangnya memiliki kenderaan sedemikian hanya merupakan khayalan penerbit filem James Bond yang sentiasa memperkenalkan pelbagai produk atau gajet yang canggih dan berciri masa depan.

Walaupun usaha mencipta kereta yang juga boleh berfungsi dalam air telah bermula sejak 100 tahun dahulu. Tetapi tidak banyak yang berjaya.

Bagaimanapun, anda kini boleh menempah untuk memiliki kenderaan amfibia yang mempunyai ciri-ciri seperti kereta-bot James Bond itu yang akan mula dijual tahun ini dengan harga kira-kira RM1 juta.

Walaupun ia tidak mampu menyelam dan dilengkapi dengan pelancar torpedo, tetapi kenderaan amfibia yang dikenali sebagai Aquada itu merupakan kereta sports yang mampu berfungsi tanpa masalah di darat dan air.

Aquada dicipta oleh Gibbs Technologies Ltd., syarikat yang berpangkalan di Warwickshire, United Kingdom boleh bertukar fungsi daripada kereta kepada bot laju dalam masa beberapa saat sahaja sebelum memasuki ke dalam air.

Kenderaan amfibia itu boleh dipandu dengan kelajuan sehingga 161 kilometer sejam di jalan raya dan dalam masa sepuluh saat sahaja mampu bertukar fungsi menjadi bot laju apabila hendak masuk ke dalam air.

Aquada yang dilengkapi dengan kipas bot (propeller) jet itu mampu bergerak dengan kelajuan 48km sejam yang memberikan anda keseronokan seperti menaiki bot laju atau skuter air.

Kereta dan bot Aquada tersebut merupakan hibrid kereta/bot sempurna pertama pernah dicipta di dunia memandangkan ia boleh dipandu dengan kelajuan kereta biasa di darat dan juga air.

Kebanyakan ciptaan kenderaan hibrid gabungan kereta/bot sebelum ini mempunyai masalah kelajuan dan sesetengahnya pula tidak mampu kembali menaiki ke darat selepas memasuki ke dalam air.

Kereta/bot ini dilengkapi dengan enjin V-6 175 kuasa kuda (hp) dengan mempunyai dua tempat duduk. Tayar kenderaan ini boleh dimasukkan ke dalam badan kereta apabila ia bertukar fungsi menjadi bot yang memudahkan ia meluncur apabila berada di permukaan air.

Gibbs Technology pada akhir tahun lepas telah menunjukkan kehebatan kereta-bot mereka kepada umum dengan memilih lokasi Sungai Thames seperti yang pernah digunakan oleh krew rakaman filem James Bond ketika menggunakan kereta/bot Q.

Gibbs menghabiskan masa tujuh tahun dengan 70 jurutera untuk mereka bentuk Aquada yang pada awalnya disasarkan untuk kegunaan riadah pengguna. Bagaimanapun, syarikat itu berharap untuk menjual juga kereta amfibia untuk kegunaan tentera, atau ejen penyiasat seperti Bond sendiri.

Pengasas Gibbs Technologies, Alan Gibbs berkata, ciptaan amfibian ini boleh juga digunakan untuk mereka yang ingin mengelak kesesakan dengan mengambil jalan pintas melalui jalan air.

``Ini merupakan projek antarabangsa yang mendapat sentuhan kepakaran kejuruteraan British yang terkenal dalam kejuruteraan automobil,'' katanya.

Kereta tersebut memerlukan pengangkut bot atau sekurang-kurangnya cerun untuk membolehkan ia memasuki air dengan selamat, walaupun ia boleh dipandu terus dari pantai ke dalam laut.

Pemandu kenderaan ini bagaimanapun memerlukan lesen dan juga insurans kenderaan di jalan raya dan juga kegunaan marin. Maklumat lanjut mengenai kenderaan ini boleh diperoleh dari laman www.aquada.co.uk.

Sementara itu, industri automobil dan marin di Amerika Syarikat (AS) tidak mahu ketinggalan dalam membangunkan kenderaan amfibia ini dengan sebuah syarikat setakat ini telah menunjukkan kemampuan kereta-bot yang dalam peringkat pembangunan prototaip.

Kereta yang dikenali sebagai WaterCar yang dibina oleh Dave March dan dua anaknya dari WaterCar, Inc. dari California, AS. WaterCar yang diliputi dengan bahan gentian kaca (fiberglass) mempunyai reka bentuk seperti kereta sports Camaro, GM.

March yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang pembinaan badan kereta, bot dan juga kapal terbang telah berjaya membangunkan prototaip WaterCar yang boleh bergerak dengan kelajuan 200km sejam ketika di jalan raya dan 72km sejam apabila berada di dalam air.

WaterCar ini mempunyai pintu yang direka bentuk dengan kemas agar tidak mudah dimasuki air dan juga tidak boleh dibuka apabila berada di dalam air. Enjin kenderaan ini menggunakan dari jenis Volkswagen Type 2 dan enjin bot pula menggunakan jenis Berkeley.

Menurut March, kedua-dua enjin itu direka bentuk agar boleh beroperasi serentak terutama untuk digunakan ketika proses menaiki ke darat dari dalam air.

Syarikat itu telah membuka tempahan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan kenderaan tersebut melalui laman webnya www. water car.com. Harganya dijangka kira-kira RM570 ribu. Bagi kereta versi SUV berharga rendah yang akan dibangunkan pula, WaterCar meletakkan sasaran harga antara RM304,000 hingga RM380,000.

Sebuah lagi syarikat dari AS yang terlibat dalam pembangunan kenderaan amfibia yang berbentuk sporty ialah kenderaan yang dikenali sebagai Dobbertin HydroCar.

Kenderaan ciptaan Rick Dobbertin itu merupakan kesinambungan daripada usahanya membangunkan kenderaan amfibia berbentuk kereta kebal dikenali sebagai Dobbertin Surface Orbiter.

Prototaip HydroCar yang dijangka siap pembinaannya akhir tahun ini mempunyai reka bentuk aerodinamik itu dilengkapi dengan enjin Chevy V8 dengan mempunyai fungsi sebagai kereta biasa dan pacuan empat tayar.

Dobbertin menjangka HydroCar akan mampu mencecah kelajuan 200km sejam di darat dan 80km sejam apabila berada dalam air. Maklumat lanjut mengenai kenderaan ini boleh diperoleh dari laman web www. hydrocar.us.

Menurut laporan akhbar Xinhua di China, seorang mekanik dari Hebei Province juga telah mencipta kereta amfibia yang mampu mencapai kelajuan 120km sejam apabila berada di jalan raya dan 50km sejam apabila berada di dalam air.

Sememangnya, pembangunan kenderaan-kenderaan yang mampu berada di dalam air dan juga jalan raya ini tidak akan mampu dikeluarkan secara besar-besaran setakat ini tetapi sekurang-kurangnya mereka telah membuktikan yang perkara itu tidak mustahil dilakukan.