Kes UPSR diketahui minggu depan

Sumber: Utusan On-Line - 01 Feb 2004


KUALA LUMPUR 31 Jan. - Laporan penuh mengenai siasatan kejadian murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Pulau Chapa, Kubang Pasu, Kedah dipaksa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pihak murid Tahun Enam akan diketahui pada minggu hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin berkata, kedua-dua pihak yang menjalankan siasatan iaitu pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan polis sudah selesai menjalankan tugas mereka termasuk menemu bual pelajar terbabit.

Beliau berkata, sekiranya pihak sekolah didapati bersalah hukuman pastinya dikenakan ke atas setiap individu yang terlibat di dalam penyelewengan berkenaan.

``Bentuk hukuman akan ditentukan kemudian bergantung kepada jenis kesalahan, sekiranya serius maka beratlah hukuman tersebut.

``Bukan sahaja tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan bahkan mereka yang terbabit juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah kerana ia turut melibatkan unsur-unsur jenayah iaitu penipuan dan pemalsuan,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan kes tersebut selepas didedahkan oleh media 25 Januari lalu melalui bapa kepada salah seorang murid Tahun Lima yang dipaksa mengambil peperiksaan tersebut oleh guru sekolahnya.

Abdul Aziz berkata, tindakan yang akan diambil pastinya tidak akan melibatkan murid-murid sekolah tersebut sama ada yang dipaksa menduduki atau yang terpaksa memberi laluan.

``Ini jelas kerana mereka tidak bersalah dan lagi pun mereka pada peringkat umur tersebut mereka pastinya tidak mengetahui apa-apa.