Guru senior, junior - Diminta bertolak ansur

petikan dari Utusan On-Line - 23 Jan 2004

GURU-GURU senior dan junior diminta saling bertolak ansur dalam meningkatkan pencapaian sekolah dalam akademik dan kokurikulum.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Ab. Aziz Abdullah berkata guru junior terutama yang baru mengajar perlu bertolak ansur dan sanggup belajar daripada guru senior.

Menurutnya, guru junior perlu mempunyai ketahanan diri untuk menjalankan tugas seharian.

``Terdapat guru junior yang `berlagak' sombong sebaik keluar dari universiti dan tidak menghormati guru senior.

``Ini tidak sepatutnya berlaku kerana semua guru sama ada senior atau junior perlu bekerjasama dalam meningkatkan pencapaian sekolah dalam akademik dan kokurikulum,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas laporan ruangan Pendidikan, Utusan Malaysia minggu lalu mengenai seorang guru wanita bujang terpaksa berhenti kerja kerana tidak tahan dibuli secara berterusan oleh guru senior yang telah berkahwin di sekolahnya di Kuala Lumpur.

Guru wanita bujang berkenaan berasa dirinya dibuli apabila terpaksa melakukan tugasan guru senior berkenaan.

Ab. Aziz berkata, perkataan buli tidak sesuai dalam kes berkenaan kerana ia seolah-olah menunjukkan guru terlibat melakukan perbuatan samseng serta memberi imej yang tidak baik kepada profesion perguruan.

Menurut beliau, jika terdapat guru senior yang suka mengambil kesempatan terhadap guru junior terutama guru bujang maka mereka boleh dikategorikan sebagai guru bermasalah.

Katanya, guru di Malaysia telah dilatih supaya bersikap profesional, sopan santun, bertimbang rasa dan berjiwa penyayang.

Justeru katanya, ``sebagai golongan profesional dan berilmu, sukar dipercayai masih terdapat guru senior yang sanggup membuli rakan sekerja yang lebih muda sehingga `mangsa' terpaksa berhenti kerja.

``Bagi saya, hanya guru-guru yang sakit jiwa, mementingkan diri dan bermasalah sanggup berkelakuan seperti itu,''

``Kalau guru dikaitkan dengan samseng maka ia memberi imej yang tidak baik kepada profesion perguruan,'' katanya.

Katanya, penggunaan perkataan buli boleh menimbulkan suasana tidak selesa di sekolah terutama di bilik-bilik guru.

Ini kerana kesatuannya telah menerima laporan bahawa guru senior dan guru junior terutama yang masih bujang masing-masing berasa tidak selesa apabila berada di dalam bilik guru.

``Ini satu perkembangan yang tidak baik kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik sesama guru,'' ujarnya.

Namun beliau juga mendakwa terdapat guru junior yang kadang kala menolak tugasan yang diberi oleh guru besar atau pengetua.

Menurutnya, ini berlaku apabila guru junior terlibat diberi tugas tidak datang ke sekolah untuk menyelesaikannya.

Katanya, ramai di kalangan guru junior ketika masih dalam perkhidmatan mengikuti kursus Pendidikan Jarak Jauh.

``Biasanya pada hari Jumaat, mereka tiada di sekolah selepas waktu mengajar sehingga hari Ahad kerana mengikuti kelas.

``Hari Isnin, baru mereka muncul di sekolah untuk mengajar dan ia berlaku berterusan selama bertahun-tahun sehingga mereka tamat pengajian,'' katanya.

Katanya, tentunya guru junior terlibat tidak dapat menjalankan tugasan yang diberi pada hari-hari berkenaan.

Tugas itu katanya, terpaksa dipikul oleh guru senior yang mahu tidak mahu perlu memikul amanah itu demi kepentingan pelajar.

Sehubungan itu, beliau mahu semua guru bersatu hati dan jika ada masalah, mereka boleh mengemukakannya kepada pihak pentadbir.

Katanya, guru yang keberatan mengadu kepada pihak pentadbir dinasihatkan mengemukakan aduan masing-masing kepada kesatuan guru atau Kementerian Pendidikan.

Beliau mewakili kesatuannya mengesyorkan supaya Kementerian Pendidikan menyediakan satu peti aduan khas untuk guru yang mempunyai masalah di sekolah.

Tambahnya, nama pengadu perlu dirahsiakan dan pihak kementerian perlu turun padang untuk melawat sekolah yang menjadi tempat guru itu mengajar.

``Tindakan untuk membetulkan keadaan dan suasana boleh diambil selepas lawatan dilakukan,'' ujarnya. - Utusan.