Kesatuan cadang guru kaunseling mengajar

petikan dari Berita Harian-Pendidikan- On-Line - 23 Jan 2004

PELBAGAI pihak mencadangkan guru kaunseling turut mengajar sebagai guru pengganti, terutama di sekolah yang menghadapi masalah kekurangan guru, walaupun Kementerian Pendidikan tidak mewajibkan guru berkenaan berbuat demikian.

Yang Dipertua, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Yahya Zakaria, berkata setiap sekolah mempunyai guru mengikut kuota ditetapkan, iaitu 1.5 guru untuk satu kelas.

“Peruntukan itu tidak termasuk guru besar, penolong kanan, penyelia petang dan guru kaunseling kerana mereka sudah ditetapkan kementerian melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Bagaimanapun, jika ada guru yang terpaksa menghadiri kursus atau cuti panjang, tidak salah sekiranya guru kaunseling memberi bantuan dengan mengisi kekosongan itu buat sementara waktu.

“Ini kerana guru kaunseling juga terlatih, terutama dari segi proses pengajaran dan pembelajaran. Bagaimanapun, pihak sekolah perlu memastikan tugas sementara itu tidak mengganggu tanggungjawab mereka sebagai guru kaunseling,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar, baru-baru ini, yang memetik Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, sebagai berkata kekosongan 19,000 jawatan guru berikutan dasar kementerian yang menetapkan guru kaunseling tidak seharusnya mengajar.

Musa berkata, kementerian menetapkan nisbah seorang guru kaunseling untuk 500 pelajar dan dengan itu bagi 1,000 pelajar perlu ada dua guru kaunseling. Apabila dua guru ditarik, menyebabkan kekosongan guru di sekolah. Itu yang menyebabkan kekosongan 19,000 jawatan guru.

Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Mohd Ali Hassan, juga berpendapat sekolah yang mengalami masalah kekurangan guru boleh menggunakan khidmat guru kaunseling dengan syarat tidak menjejaskan tugas hakiki mereka.

“Tidak dinafikan guru kaunseling mempunyai tanggungjawab khas dalam membentuk keperibadian pelajar, tetapi mereka wajar mengajar mata pelajaran berkaitan seperti Pendidikan Moral apabila diperlukan.

“Ini secara tidak langsung mengatasi masalah kekurangan guru, selain memanfaatkan sepenuhnya kemahiran guru berkenaan. Bagaimanapun, tumpuan mereka hendaklah 70 peratus dalam bidang kaunseling, manakala 30 lagi mengajar,” katanya.

Beliau berkata, guru kaunseling yang turut mengajar mempunyai kelebihan tersendiri, termasuk dapat mengenali pelajar lebih dekat, selain memantapkan kemahiran pedagogi.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Ismail Nihat berpendapat guru kaunseling wajar memberi tumpuan penuh terhadap bidang kepakaran mereka.

Katanya, dasar kementerian menetapkan guru kaunseling tidak perlu mengajar baik kerana ia memberi peluang pelajar menemui guru berkenaan pada bila-bila masa untuk mendapatkan bimbingan.

“Kementerian Pendidikan sudah membuat perancangan awal berdasarkan unjuran murid dan dari situ, dapat dijangkakan keperluan guru dalam tempoh enam tahun akan datang. Bagaimanapun, sekarang timbul pula masalah kekurangan guru,” katanya.

Dalam hal ini, Ismail berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kementerian supaya menubuhkan Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan yang berfungsi menyerapkan guru dalam kumpulan itu untuk mengganti guru cuti bersalin, belajar dan mengerja haji.

Beliau berkata, guru bersara tetapi masih berupaya digalakkan menyertai kumpulan itu agar mereka dapat memberi khidmat kepada sekolah yang menghadapi masalah kekurangan guru.

“Kementerian menerima baik cadangan ini dan diharap penubuhannya disegerakan bagi mengatasi masalah kekurangan guru,” katanya.